Mengapa Kita Perlu Berjiran?

1)      Bantuan Ketika Kecemasan


Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi. 

Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat melahirkan suasana seperti ini.


2)      Menambah Kenalan


Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu  dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali”. 

(Al-Hujurat : 13)

Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya.

 Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.

3)      Menjamin Keselamatan Setempat


Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan samaada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan  Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. 

Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:

“Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”. 

(Al-Maidah : 2)


4)      Menjaga Keharmonian Masyarakat


Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan. 

Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran?

 Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata pepatah Melayu “Sediakan payung sebelum hujan”. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.

5)      Integrasi Nasional


Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.

Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 

“Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku”. 

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment